PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) kini giat melaksanakan Projek Pembangunan Taman Botani Tuan Fuad Stephen di Bukit Padang, Kota Kinabalu, sebagai inisiatif strategik memperkaya landskap hijau dan memperkukuh konservasi biodiversiti di Sabah.
Menurut kenyataan KPKT, projek berkenaan kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 96.74 peratus setakat 6 November 2025, dengan baki 3.26 peratus kerja dalam fasa pelaksanaan akhir. Kerja-kerja yang sedang disiapkan meliputi penyediaan kawasan permainan, pemasangan bollard, papan tanda serta kemasan akhir di beberapa zon pembangunan.
Bagaimanapun, kelewatan projek dilaporkan berpunca daripada kelemahan pengurusan dalaman kontraktor dan kelewatan bekalan bahan binaan ke tapak. Susulan itu, Kerajaan telah mengenakan denda kelewatan (Liquidated Ascertained Damages, LAD) sebanyak RM2,704.61 sehari bermula 15 Julai 2025. Berdasarkan pemantauan semasa, projek dijangka siap sepenuhnya menjelang 30 November 2025.
KPKT menjelaskan bahawa projek tersebut masih dalam proses penyelesaian akhir dan belum diperakui untuk Perakuan Siap Kerja (CPC). Namun, pembukaan awal kawasan tertentu telah dilakukan bagi membolehkan penduduk sekitar Kota Kinabalu beriadah sementara kerja-kerja terakhir disempurnakan.
Pihak JLN bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus menjalankan pemantauan rapi melalui lawatan tapak dan mesyuarat teknikal berkala bagi memastikan setiap komponen projek disiapkan mengikut spesifikasi, piawaian serta standard keselamatan tertinggi.
Kementerian menegaskan bahawa apabila siap sepenuhnya, Taman Botani Tuan Fuad Stephen akan menjadi mercu tanda baharu landskap hijau dan warisan biodiversiti Sabah, sekaligus mencerminkan komitmen Kerajaan terhadap pemeliharaan alam semula jadi dan pembangunan landskap mampan di Malaysia.




