Siapakah Benar-benar Membawa Perubahan di Silam? Di Saat Akhir Kempen, Pengundi Tertanya

Siapakah Benar-benar Membawa Perubahan di Silam? Di Saat Akhir Kempen, Pengundi Tertanya

0
SHARE

LAHAD DATU: Dengan baki tiga hari sebelum hari pengundian PRN Sabah ke-17, suasana di DUN Silam semakin rancak dengan kempen yang semakin agresif daripada semua calon.

Pertandingan tiga penjuru parti utama, antara Datuk Seri Mohammad Yusof Apdal daripada Warisan, Datuk Mizma Appehdullah mewakili GRS dan Sharif Musa Sharif Mabul daripada BN menjadikan kawasan itu antara tumpuan utama pengundi yang sedang menilai rekod serta kredibiliti masing-masing.

Calon-calon lain terdiri daripada Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN), Amat Kawoh @ Abd Rahman (BEBAS), Mohammad Enriquez (SAPP), Brahim Biesel (PIS) dan Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS).

Tinjauan Sabah News mendapati ramai pengundi Silam menumpukan perhatian kepada persoalan besar: siapakah calon yang benar-benar mampu membawa perubahan dan pembangunan yang telah lama dinantikan di kawasan itu?

Rekod Parlimen Diambil Kira Dalam Menilai Calon Warisan

Yusof Apdal bersama Shafie Apdal.

Dalam perbincangan bersama penduduk, isu berkaitan rekod pembangunan menjadi antara topik paling kerap disebut, khususnya berkaitan prestasi Yusof Apdal semasa mewakili Lahad Datu di peringkat Parlimen.

Ada penduduk menyatakan bahawa mereka masih menunggu perubahan ketara yang dijanjikan ketika beliau berada di tampuk itu, dan hal ini menimbulkan keraguan sama ada beliau dapat melaksanakannya di peringkat DUN.

Pemilihan Yusof oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal — yang juga abangnya — turut mencetuskan persoalan dalam kalangan sebahagian pengundi mengenai kebergantungan parti kepada hubungan kekeluargaan dan sejauh mana ia benar-benar membawa manfaat kepada penduduk setempat.

“Kalau masa pegang Parlimen pun kami di Lahad Datu tidak nampak banyak pembangunan, macam mana kalau jadi ADUN?” ujar seorang penduduk Kampung Silam.

Isu Integriti Warisan Masih Dalam Perbualan Pengundi

Isu integriti pula menjadi perbualan yang tidak dapat dielakkan.

Sebilangan penduduk menyebut kembali sejarah siasatan SPRM yang pernah melibatkan Yusof Apdal pada 2017, ketika beliau direman bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek luar bandar Sabah.

Walaupun beliau dibebaskan dengan jaminan dan tidak disabitkan, insiden itu kekal dalam ingatan sesetengah pengundi.

Mohd Saifullah Mohd Minggu, (20 Nov 2025) disabitkan bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lapan pertuduhan rasuah melibatkan jumlah keseluruhan RM1.77 juta.

Perbincangan penduduk turut menyentuh kes terbaharu melibatkan seorang anak saudara Presiden Warisan yang dijatuhi hukuman penjara dan denda besar dalam kes rasuah, yang menurut mereka turut memberi kesan kepada persepsi terhadap imej parti secara keseluruhan.

Kesemua isu ini tidak melibatkan Warisan sebagai sebuah entiti secara langsung dalam PRN kali ini, namun ia tetap menjadi topik yang mempengaruhi keyakinan segelintir pengundi.

Mizma dan Konsistensi Turun Padang Tarik Perhatian Sebahagian Pengundi

Di pihak GRS, calon Datuk Mizma Appehdullah menerima maklum balas lebih positif daripada sebilangan besar penduduk yang ditemui.

Mereka mendakwa Mizma sudah terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan sejak lebih tiga tahun lalu, termasuk bantuan ketika pandemik dan inisiatif kebajikan yang dijalankan secara berterusan.

Ramai menyebut bahawa kehadiran beliau di kampung-kampung bukan perkara baharu, malah konsisten sebelum kempen bermula. Perkara ini memberi kelebihan kepada beliau dalam kalangan pengundi yang menekankan kehadiran serta komitmen calon di lapangan.

Namun, sokongan terhadap Mizma juga dinilai bersama rekod pentadbiran kerajaan negeri GRS di bawah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Ada penduduk yang melihat pentadbiran negeri kini lebih stabil berbanding sebelum ini, dengan beberapa usaha pembangunan mula dirasai, terutamanya dalam aspek infrastruktur dan program ekonomi setempat.

Bagi mereka, kesinambungan pentadbiran mungkin memberi peluang lebih besar kepada pembangunan yang lebih teratur di Silam.

“Datuk Mizma selalu datang sebelum pilihan raya pun. Dia ada di Silam lama sudah,” kata seorang peniaga kecil.

BN Berdepan Cabaran Imej dan Rekod Lama

Sementara itu, calon BN Sharif Musa Sharif Mabul berdepan cabaran berbeza. Sebahagian pengundi masih mengaitkan BN dengan rekod pentadbiran lampau, termasuk kawasan yang dianggap tertinggal dari segi pembangunan.

Reputasi BN di peringkat nasional dan negeri turut mempengaruhi pertimbangan pengundi Silam, yang masih berhati-hati menilai sama ada parti itu mampu menawarkan pembaharuan selepas beberapa tahun berada di luar tampuk kuasa negeri.

Walaupun Sharif Musa dilihat sebagai wajah baharu, legasi partinya masih menjadi perbualan dalam kalangan pengundi yang mengingatkan kembali janji lama yang tidak ditunaikan.

Apa Yang Sebenarnya Dicari Pengundi Silam?

Di sebalik kempen yang giat dijalankan oleh ketiga-tiga calon, tinjauan Sabah News mendapati pengundi di Silam semakin kritikal dalam menilai calon, terutamanya pengundi muda.

Mereka tidak lagi terikat kepada parti semata-mata, sebaliknya memberi tumpuan kepada rekod kerja, konsistensi turun padang, integriti peribadi dan keupayaan calon membawa suara rakyat ke peringkat negeri.

Pengundi mengakui mereka semakin berhati-hati dengan janji semasa pilihan raya dan lebih mengutamakan bukti kerja yang nyata.

Menjelang 29 November ini, keputusan pengundi Silam masih sukar diramal. Namun satu perkara yang jelas — penduduk kini benar-benar meneliti sama ada calon yang bertanding mampu membawa perubahan ataupun sekadar mengulangi janji yang pernah didengar sebelum ini.

Dalam suasana yang semakin hangat, hanya undi rakyat nanti yang akan menentukan hala tuju Silam untuk lima tahun mendatang.