Sembilan Rumah Atas Air di Kampung Pasir Putih Terbakar

Sembilan Rumah Atas Air di Kampung Pasir Putih Terbakar

0
SHARE

PUTATAN: Sebanyak sembilan buah rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Pasir Putih di sini, tengah hari Isnin, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 1.35 petang dan jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian, kira-kira 3.5 kilometer dari balai.

Komander Operasi Kanan, Noor Sherriyana Bohari, berkata kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal dengan keluasan anggaran 20 x 60 meter persegi.

“Lapan rumah terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi terbakar kira-kira 10 peratus. Tiada mangsa dilaporkan,” katanya.

Menurut beliau, operasi pemadaman melibatkan 38 anggota daripada BBP Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu, dibantu Unit Komunikasi serta beberapa agensi lain termasuk PDRM, APM dan Majlis Daerah Putatan.

Pemadaman dijalankan menggunakan lima aliran sepanjang 800 kaki dengan tujuh pancutan, menggunakan sumber air daripada jentera, lori tangki dan pili bomba berhampiran.

Api berjaya dikawal pada jam 2.33 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.51 petang selepas pasukan memastikan keadaan selamat.