Kepelbagaian Salasilah Keluarga Sabah Semai Nilai Kebersamaan – Armizan

Kepelbagaian Salasilah Keluarga Sabah Semai Nilai Kebersamaan – Armizan

0
SHARE

PAPAR: Keunikan salasilah keluarga dalam kalangan masyarakat Sabah wajar dijadikan asas untuk menyemai nilai kebersamaan, toleransi dan perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, kepelbagaian latar belakang kaum dan agama yang wujud dalam struktur kekeluargaan masyarakat Sabah telah lama menjadi sebahagian daripada realiti kehidupan dan perlu dihargai sebagai kekuatan, bukannya pemisah.

Menurut Armizan, salasilah keluarganya sendiri mencerminkan kepelbagaian tersebut apabila sebahagian daripada akar keluarga ibunya berketurunan Kadazan Dusun, selain beliau merupakan generasi ke-10 daripada cabang keluarga Potou dalam rumpun keluarga besar Samat Mukaie.

“Rumpun keluarga besar Samat bercambah hasil perkahwinan campur pelbagai kaum dan agama, merentasi negeri serta negara, namun perbezaan itu tidak pernah menjadi pemisah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Beliau berkata, setiap perayaan diraikan bersama kerana ia hakikatnya merupakan perayaan sebahagian daripada ahli keluarga sendiri, termasuk sambutan Hari Natal.

Sehubungan itu, Armizan mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya, khususnya ahli keluarga besar Samat, rakan taulan serta warga Papar.

Beliau berharap sambutan perayaan tersebut dapat menjadi wahana untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, menyemai sikap toleransi dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Armizan turut mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu dan berharap tahun 2026 akan menjadi tahun yang lebih bermakna, bernilai serta membawa kemakmuran berganda kepada rakyat dan negara.