Wanita Cedera, Honda CR-V Terbabas Masuk Longkang di Putatan

Wanita Cedera, Honda CR-V Terbabas Masuk Longkang di Putatan

0
SHARE

PUTATAN: Seorang wanita cedera manakala seorang lelaki terselamat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang terbabas sendiri lalu masuk ke dalam longkang di Jalan Kampung Ganang, di sini, malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.06 malam itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan digerakkan ke lokasi kejadian, dengan bantuan BBP Kota Kinabalu.

Ketua Balai BBP Putatan, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati terdapat dua mangsa terlibat, dengan seorang daripadanya tersepit di dalam kenderaan.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan stretcher oleh pasukan bomba sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, mangsa wanita berusia 40 tahun mengalami kecederaan ringan dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS bomba bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala mangsa lelaki berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi melibatkan seramai lapan anggota bomba bersama dua jentera dan turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM). Setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 10.39 malam.