KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menetapkan pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, infrastruktur serta kelestarian hijau sebagai teras utama Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan modal insan menjadi keutamaan dengan peruntukan RM164.01 juta meliputi peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan pertanian serta literasi kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, SMJ 2.0 turut meneruskan bantuan pendidikan melalui 14 jenis inisiatif bernilai RM203.4 juta, selain peningkatan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM145 juta pada 2025, yang memanfaatkan kira-kira 480,000 pelajar termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) bagi permohonan biasiswa dan kemasukan perkhidmatan awam.
“Program Rumah Mesra SMJ telah memberi manfaat kepada 7,482 penerima dan akan diteruskan dengan 50 unit bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini, khusus untuk golongan miskin, miskin tegar dan pasangan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Beliau turut memaklumkan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) diperluas daripada 100,000 kepada 140,000 penerima dengan peruntukan RM339.16 juta tahun ini, selari dengan bantuan kerajaan persekutuan seperti Sumbangan Asas Rahmah.
Dalam aspek infrastruktur dan kelestarian hijau, Hajiji berkata sebanyak RM6.8 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pembangunan infrastruktur, utiliti dan tenaga lestari termasuk Lebuh Raya Pan Borneo, pembinaan serta naik taraf loji rawatan air, pengukuhan grid elektrik, serta projek tenaga OTEC, hidroelektrik dan penjanaan tenaga biru.
Kerajaan negeri juga memperluas infrastruktur digital melalui Pusat e-Desa, VSAT dan Starlink selaras agenda kerajaan digital berteraskan AI, selain memperuntukkan RM672.05 juta bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan tindakan perubahan iklim dengan sasaran 30 peratus Kawasan Perlindungan Sepenuhnya menjelang 2030.
Hajiji berkata Ekonomi Biru diangkat sebagai pemacu strategik SMJ 2.0 merangkumi bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik, pelancongan lestari serta pemanfaatan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar.
Bagi menyokong agenda itu, kerajaan memperkenalkan pembiayaan biru melalui MoU dengan Maybank untuk penerbitan Sukuk Biru bernilai RM1 bilion dengan permulaan RM300 juta.
Beliau menegaskan kejayaan SMJ 2.0 bergantung kepada kecekapan, integriti dan disiplin penjawat awam sebagai nadi pelaksanaan dasar, selain menekankan komitmen kerajaan negeri untuk membuat keputusan demi kepentingan jangka panjang Sabah walaupun tidak popular.
“Kejayaan SMJ 2.0 adalah amanah bersama untuk memastikan peluang pekerjaan diwujudkan, pelaburan strategik diteruskan dan pendapatan negeri diurus secara cekap, telus serta bertanggungjawab untuk generasi kini dan akan datang,” katanya.






