MINDET Perhebat Usaha Jayakan Hala Tuju SMJ 2.0

MINDET Perhebat Usaha Jayakan Hala Tuju SMJ 2.0

0
SHARE

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan melipatgandakan usaha bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, khususnya dalam memperkukuh sektor perindustrian dan keusahawanan negeri.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, SMJ 2.0 menggariskan agenda besar pembangunan perindustrian yang perlu disokong oleh ekosistem logistik dan pelabuhan yang cekap serta berdaya saing.

Menurutnya, peranan MINDET selari dengan mandat pelan berkenaan yang menekankan pembangunan perindustrian dan keusahawanan secara menyeluruh, disepadukan dengan portfolio pengangkutan termasuk pelabuhan dan logistik.

“Saya telah mengemukakan pandangan awal kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya dan pandangan itu telah diambil kira serta dimasukkan ke dalam Pelan Hala Tuju SMJ 2.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Kejohanan Taekwondo Kota Belud di Dewan Kompleks Sukan Botung, di sini, hari ini.

Ewon berkata, seluruh warga MINDET akan meningkatkan komitmen dan kecekapan bagi memastikan pelaksanaan pelan itu berjalan lancar serta mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan akan membentangkan cadangan penyelesaian interim bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar pada Mesyuarat Kabinet Sabah minggu hadapan.

Katanya, meskipun projek pembesaran Pelabuhan Sepanggar sedang dilaksanakan sebagai penyelesaian jangka panjang, langkah interim perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan kesesakan sedia ada yang menjejaskan operasi industri.

“Cadangan penyelesaian ini telah diedarkan kepada Jemaah Menteri. Sekiranya dipersetujui, saya yakin ia mampu meredakan kesesakan dan memberi kelegaan kepada pemain industri,” katanya.

Beliau menegaskan, penyelesaian isu pelabuhan amat penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan penggiat industri terhadap iklim perindustrian dan keusahawanan di Sabah.

Selepas isu Pelabuhan Sepanggar ditangani, Ewon berkata MINDET akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan peningkatan kecekapan Pelabuhan Sandakan serta Pelabuhan Tawau sebagai sebahagian strategi memperkukuh jaringan logistik negeri.

“Saya yakin usaha bersepadu ini bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan SMJ 2.0, malah membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu kecekapan pelabuhan secara serius,” katanya.

Menyentuh mengenai kejohanan sukan berkenaan, Ewon berkata beliau akan terus menyokong penganjuran aktiviti pembangunan belia dan sukan, khususnya di kawasan Kota Belud.

“Semoga para peserta bukan sahaja membawa pulang pingat kejohanan, tetapi juga pengalaman, disiplin dan persahabatan,” katanya.