Cadangan Penambahbaikan Hospital Ranau Disambut Baik

Cadangan Penambahbaikan Hospital Ranau Disambut Baik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menyambut baik cadangan penambahbaikan kemudahan kesihatan di Hospital Ranau, susulan kunjungan hormat daripada pihak pengurusan hospital itu yang diketuai Pengarahnya, Dr. Roniyuzam Abdul Malek, baru-baru ini.

Dalam pertemuan tersebut, pihak Hospital Ranau membentangkan taklimat mengenai rancangan menaiktaraf hospital ke status Hospital Pakar Minor.

Antara cadangan yang dibentangkan termasuk penambahan fasiliti baharu, penyediaan mesin imbasan (scan) terkini, serta langkah-langkah meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan perubatan kepada orang awam.

Selain itu, perancangan pembinaan bangunan baharu di kawasan sedia ada Hospital Ranau turut dibentangkan, lengkap dengan wad pesakit, unit diagnostik dan pengimejan perubatan, ruang rawatan klinikal, serta pelbagai kemudahan sokongan perubatan lain.

Projek tersebut juga akan meluaskan kemudahan tempat letak kereta bagi keselesaan pesakit, keluarga, dan pengunjung hospital.

Cadangan pembinaan klinik kesihatan di lokasi strategik turut diketengahkan untuk memudahkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, terutamanya bagi penduduk kampung terpencil yang jauh dari hospital daerah tersebut.

“Kerajaan Negeri Sabah komited untuk terus memperkukuh sistem kesihatan awam selaras dengan keperluan rakyat di seluruh negeri.

“Perancangan yang rapi dan pelaksanaan berperingkat amat penting supaya setiap pembangunan memberi manfaat maksimum kepada masyarakat setempat,” kata Masidi

Beliau turut menekankan bahawa pegawai hospital perlu sentiasa mengutamakan kualiti layanan kepada orang awam, memastikan setiap pesakit mendapat perhatian yang mesra dan profesional, serta menegakkan etika kerja dan tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang cemerlang.