Iklan Raya “Bila” Angkat Isu Tekanan Soalan ‘Bila Nak Kahwin?’

Iklan Raya “Bila” Angkat Isu Tekanan Soalan ‘Bila Nak Kahwin?’

0
SHARE

DAMANSARA: Syarikat produksi Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd melancarkan iklan Hari Raya terbaharu berjudul “Bila” dalam satu sidang media yang berlangsung di Royal Chulan Damansara.

Iklan tersebut diterbitkan dengan sokongan penaja rasmi Milo dan diarahkan oleh pelakon serta pengarah muda Nadhir Nasar.

Karya berdurasi pendek itu mengetengahkan kisah seorang wanita bekerjaya bernama Siti yang melihat Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga musim tekanan apabila sering diajukan soalan sensitif “bila nak kahwin?” setiap kali pulang ke kampung.

Bagi mengelakkan desakan keluarga, Siti mengambil keputusan mengupah teman lelaki palsu setiap tahun.

Namun, keadaan berubah apabila Alif, pelakon sambilan yang diupahnya, berjaya menawan hati seluruh keluarga tanpa disangka. Situasi tersebut membuatkan Siti berdepan hakikat bahawa kejayaan kerjaya yang dikejarnya mungkin telah menjauhkan dirinya daripada orang tersayang.

Menurut Nadhir Nasar, projek itu menjadi pengalaman bermakna kerana melibatkan rakan-rakan di bawah pengurusan yang sama.

“Bekerja bersama rakan-rakan di bawah pengurusan yang sama sentiasa istimewa, lebih-lebih lagi apabila kami berkolaborasi dalam projek yang saya arahkan. Saya bangga dapat terus melangkah, membesar dan mencipta bersama LOL Management,” katanya.

Iklan Raya tersebut turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Yusuf Bahrin, Areef Amran, Erysha Emyra, Ezzanie Jasny, Auni Yusri dan Syad Mutalib, selain penampilan istimewa penyanyi terkenal Liza Hanim.

Wakil produksi berkata, iklan berkenaan dihasilkan dengan pendekatan penceritaan santai dan jujur kerana isu yang diketengahkan sangat dekat dengan realiti masyarakat hari ini.

“Soalan ‘bila’ mungkin kedengaran biasa, tetapi di sebaliknya tersimpan tekanan, kerinduan dan emosi yang jarang diluahkan. Kami mahu menyampaikan kisah ini secara ringan tetapi bermakna,” katanya.

Iklan Raya “Bila” dijadualkan ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd pada 7 Mac 2026 jam 8 malam.

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan tayangan eksklusif, persembahan khas serta sesi soal jawab bersama media sebelum diakhiri dengan majlis berbuka puasa dalam suasana Ramadan yang penuh kemesraan.