KOTA KINABALU: MUTIARA GRS meneruskan tradisi kebajikan sempena Aidilfitri apabila menyediakan sumbangan kuih raya untuk diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini.
Program pembungkusan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri itu diketuai oleh isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag, yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS, dan diadakan di Rumah MUTIARA GRS dengan penyertaan pemimpin serta ahli pertubuhan berkenaan yang bergotong-royong menyediakan bungkusan kuih raya.
Menurut Juliah, inisiatif tahunan anjuran Biro Kebajikan MUTIARA GRS itu merupakan tanda penghargaan kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang terus komited menjalankan tugas demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat, termasuk ketika musim perayaan.
“Program ini bukan sahaja menjadi wadah menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli MUTIARA GRS, malah turut memberi peluang kepada kita berkongsi kegembiraan Aidilfitri dengan mereka yang berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, bagi program tahun ini MUTIARA GRS menyediakan sebanyak 30 kotak yang mengandungi 300 bungkusan kuih raya selain 15 bakul tangan sumbangan untuk diagihkan kepada penerima.
Menurutnya, semua bungkusan itu akan diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada 10 Mac ini sempena Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri 2026 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan sebelum diagihkan kepada agensi berkaitan.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua I merangkap Pengerusi Biro Kebajikan MUTIARA GRS, Linda Ewit, berkata program pembungkusan kuih raya tersebut merupakan antara aktiviti tahunan pertubuhan berkenaan yang mencerminkan semangat kebajikan dan keprihatinan terhadap golongan yang sentiasa berada di barisan hadapan menjaga keselamatan serta kesihatan rakyat Sabah.






