KOTA MARUDU, SABAH – Polis akhirnya menumpaskan kegiatan DUA (2) lelaki bersama seorang perempuan tempatan yang aktif mengedar dadah di sekitar daerah Pitas
Ketiga-tiga suspek yang berusia 22 tahun hingga 40 tahun itu ditahan oleh Pasukan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Pitas pada jam 9.30 malam di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Wira (Silver), nombor pendaftaran kereta WDGxxxx bertempat di bahu Jalan di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN), Pekan Pitas ketika sedang leka menjalankan urus niaga jual beli dadah di kawasan tersebut.
Polis seterusnya menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas ketiga-tiga suspek dan telah menjumpai satu beg berwarna hitam merah yang di sembunyikan di dalam baju perempuan tersebut.

Beg tersebut setelah diperiksa mengandungi 24 peket plastik lutsinar berbagai saiz yang berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis ‘syabu’ seberat 34 gram bersama dompet berwarna coklat yang mengandungi wang tunai berjumlah RM15,230.00.

Polis turut merampas motosikal jenis Yamaha LC135, nombor pendaftaran SACxxxxE yang dipercayai milik salah seorang suspek.
Hasil ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine serta mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan Dadah di bawah Sek 12(2)ADB 1952 & Sek 15(1)(a) ADB 1952.
Kesemua suspek telah direman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 27 Ogos 2021 hingga 2 September 2021 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes diklasifikasi di bawah seksyen 39A(1)ADB 1952 dan seksyen 15(1)(a)ADB 1952.
Bagi kesalahan di bawah seksyen 39A(1)ADB 1952, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dari 2 tahun dan tidak lebih 5 tahun, dan sebatan tidak kurang 3 sebatan dan tidak lebih dari 9 sebatan.
Bagi kesalahan di bawah seksyen 15(1)(a) ADB 1952, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 5000 atau penjara tidak lebih dari 2 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pasukan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Pitas yang terlibat di dalam tangkapan ini.