Exco Pahang Antara 10 Maut Pesawat Ringan Terhempas Di Elmina, Shah Alam

Exco Pahang Antara 10 Maut Pesawat Ringan Terhempas Di Elmina, Shah Alam

0
SHARE
Elmina
Sebuah pesawat ringan terhempas di Lebuhraya Guthrie, Perbandaran Elmina ( Sumber Foto: Gambar tular di laman media sosial Facebook )

SHAH ALAM, SELANGOR – Sekurang-kurangnya 10 orang maut selepas sebuah pesawat ringan terhempas di Lebuhraya Guthrie, Perbandaran Elmina, di sini kira-kira 2.40 petang tadi.

Mangsa terlibat adalah Shahrul Kamal Bin Roslan (juruterbang), Heikal Aras Bin Abdul Azim (pembantu juruterbang) serta penumpang-penumpang iaitu Datuk Seri Johari Harun, Khairil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Mohammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pesawat yang berlepas dari Langkawi itu dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang apabila terputus komunikasi dengan menara kawalan.

“Pesawat itu merempuh jalan raya di sini dan melanggar sebuah kereta dan motosikal.

“Berdasarkan siasatan, sekurang-kurangnya dua anak kapal dan enam penumpang berada di dalam penerbangan itu.

“Kesemua mereka termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal maut di tempat kejadian.

“Kami masih belum dapat memastikan sama ada terdapat lebih ramai orang di dalam kereta itu.

“Semua mangsa akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk bedah siasat,” katanya.

Rakaman ‘dashcam’ insiden telah menjadi viral termasuk gambar senarai penumpang dan serpihan pesawat jenis Beechcraft Premier I.

Hussein Omar Khan berkata tiada komunikasi kecemasan disampaikan oleh kru sebelum nahas.

“Pesawat sepatutnya mendarat pada 2.40 petang tetapi terhempas dua minit sebelum ia dijadualkan mendarat,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai dan Exco Pahang Datuk Seri Johari Harun antara yang terkorban. Beliau berumur 53 tahun.

Speaker DUN Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengesahkan perkara itu di Facebook pada Khamis (17 Ogos).

Sebagai muka baharu pada pilihan raya umum ke-15, Johari diletakkan sebagai calon Barisan Nasional dan memenangi kerusi DUN Pelangai di kawasan parlimen Bentong.

Johari kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dalam kerajaan perpaduan Pahang.

Dalam pada itu, keluarga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis menafikan terlibat anaknya dalam kemalangan itu.

Keluarga itu meminta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat palsu itu berikutan termasuk seorang mangsa yang bernama “Bin Jamaluddin”.

Keluarga itu turut menyatakan bahawa nama anaknya ialah Ikhwan Hafiz, bukan seperti yang disenaraikan dalam dokumen itu.

Pada 4 April 2015, Jamaluddin Jarjis meninggal dunia apabila sebuah pesawat AS 3655N2 Dauphin terhempas ke dalam hutan di Jalan Sungai Lalang di Kampung Pasir Baru dekat Semenyih, Selangor.