Cuba Curi Komponen Mesin Kilang, Lelaki Warga Asing Dicekup Polis di Tawau

Cuba Curi Komponen Mesin Kilang, Lelaki Warga Asing Dicekup Polis di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki warga asing diberkas polis selepas disyaki cuba mencuri komponen mesin di sebuah kilang di kawasan Merotai Besar, di sini, pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 20-an ditahan kira-kira jam 2.49 pagi di kawasan pondok pengawal sebuah kilang di kawasan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam cubaan mencuri sebuah dynamo motor 415V.

“Dalam kejadian pada Jumaat lalu kira-kira jam 10.30 malam, pengawal keselamatan kilang telah menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Susulan laporan itu, katanya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota Balai Polis Bombalai menjalankan operasi sebelum berjaya menahan suspek.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas sebuah dynamo motor 415V yang dipercayai cuba dicuri dan disembunyikan di dalam sebuah karung.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan pecah masuk dan mencuri,” katanya.

Jasmin menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah.

“Tindakan tegas serta penguatkuasaan termasuk operasi, rondaan dan pemantauan keselamatan di premis perniagaan serta kawasan awam akan terus dipertingkatkan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan keselamatan masyarakat dan premis industri sentiasa terjamin,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.