Stor Kereta Terpakai Terbakar, 700 Kenderaan Musnah

Stor Kereta Terpakai Terbakar, 700 Kenderaan Musnah

0
SHARE

TUARAN: Kira-kira 700 kereta terpakai musnah dalam kebakaran besar yang melibatkan sebuah stor penyimpanan kenderaan di Jalan Dungun Marabahai Tambalang 2, di sini, pada Ahad.

Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan berhampiran itu merebak ke kawasan stor penyimpanan dan memusnahkan hampir keseluruhan kenderaan yang ditempatkan di kawasan seluas kira-kira dua ekar.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima melalui talian MERS 999 pada jam 1.10 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikejarkan ke lokasi.

Jentera pertama tiba pada jam 1.18 tengah hari, kira-kira lima kilometer dari balai.

“Menurut pemilik premis, kebakaran melibatkan kira-kira 700 buah kenderaan dan kebanyakannya musnah sepenuhnya,” kata seorang pegawai jurucakap.

Bagaimanapun, pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 30 kenderaan yang berada berhampiran daripada turut terbakar.

Operasi pemadaman melibatkan 25 anggota dari BBP Tuaran, BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu dengan bantuan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Api berjaya dikawal pada jam 3.31 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.55 petang selepas kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.