KOTA KINABALU: Seramai 50 murid daripada keluarga asnaf dan golongan B40 di Parlimen Sepanggar menerima sumbangan pembelian baju raya dalam usaha memastikan mereka turut merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri.
Ahli Parlimen Sepanggar merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, inisiatif tahunan itu merupakan antara usaha berterusan bagi membantu golongan memerlukan, khususnya kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Kita tidak mahu ada anak-anak yang tercicir dan tidak dapat menikmati kegembiraan Hari Raya disebabkan masalah ketidakmampuan. Kita harap sumbangan kecil ini dapat menceriakan mereka dan keluarga,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Jakel Alam Mesra, di sini, hari ini.
Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu melibatkan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Gentisan dan SK Pengiran Siti Hafsah, Karambunai.
Menurut Mustapha, pemilihan penerima dibuat melalui pihak sekolah dengan memberi keutamaan kepada murid daripada keluarga B40, tersenarai dalam eKasih, anak yatim serta mereka yang benar-benar memerlukan.
“Memang ramai yang layak, tetapi kita ambil pendekatan bergilir antara sekolah setiap tahun supaya lebih ramai dapat dibantu,” jelasnya.
Beliau berkata, Parlimen Sepanggar akan terus komited melaksanakan inisiatif kebajikan seumpama itu bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir, khususnya dalam menyambut perayaan utama.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan kesesakan trafik sempena Aidilfitri.
“Kepada yang balik kampung, rancang perjalanan lebih awal, berhati-hati di jalan raya dan kita berdoa agar negara terus pulih daripada cabaran ekonomi semasa,” katanya.






