KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menegaskan bahawa cubaan mengaitkan kemalangan maut di laluan Pan Borneo Papar dengan sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT) adalah tidak berasas dan mengelirukan.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sambutan TYT merupakan acara rasmi negeri yang menjadi simbol perpaduan rakyat Sabah serta tidak mempunyai kaitan dengan pelaksanaan projek infrastruktur.
“Mengaitkan acara rasmi negeri dengan tragedi jalan raya adalah pendekatan dangkal yang tidak mencerminkan isu sebenar,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah berpunca daripada beberapa faktor termasuk perubahan dasar selepas pembatalan model Project Delivery Partner (PDP) pada 2018, selain isu prestasi kontraktor.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan turut mengenakan penalti RM31.8 juta terhadap dua kontraktor kerana gagal menyiapkan projek mengikut jadual.
“Cabaran lain melibatkan pengambilan tanah, pengalihan utiliti dan kekangan teknikal di tapak pembinaan turut menyumbang kepada kelewatan projek,” katanya.
Zulkarnain turut menyifatkan naratif yang tular, termasuk daripada pihak yang menggelarkan diri sebagai “Suara Mahasiswa UMS”, sebagai tidak matang dan tidak berasaskan fakta.
Beliau menegaskan institusi TYT bukan pentas politik, sebaliknya simbol perpaduan dan kestabilan negeri yang perlu dihormati semua pihak.






