Trump Dakwa Iran “Terdesak” Mahu Rundingan Tamat Konflik

Trump Dakwa Iran “Terdesak” Mahu Rundingan Tamat Konflik

0
SHARE

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa Iran kini terdesak untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan hampir empat minggu konflik, walaupun Tehran menafikan sedang berunding secara langsung.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata, tiada rundingan rasmi diadakan, sebaliknya hanya pertukaran mesej melalui negara perantara.

“Ini bukan rundingan atau dialog, hanya pertukaran mesej melalui rakan negara,” katanya.

Trump bagaimanapun mendakwa pemimpin Iran mahu membuat perjanjian dengan sangat terdesak tetapi “takut untuk mengakuinya”.

Konflik yang tercetus sejak akhir Februari itu terus merebak dan mencetuskan krisis tenaga global, termasuk kenaikan harga minyak serta gangguan bekalan apabila laluan penting Selat Hormuz terjejas.

Amerika Syarikat dilaporkan mengemukakan cadangan 15 perkara kepada Iran termasuk menghentikan program nuklear dan peluru berpandu, namun memberi amaran serangan akan dipertingkat jika gagal mencapai persetujuan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut memberi amaran dunia kini berdepan risiko perang lebih besar sekiranya ketegangan terus memuncak.