PITAS: Enam hari dilaporkan hilang di kawasan hutan Kampung Bawang, seorang wanita warga emas berusia 80 tahun masih belum ditemui meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dipergiatkan.
Mangsa dikenali sebagai Sarina Samam Kassim, dilaporkan keluar dari rumah sekitar jam 4 petang pada 22 Mac lalu sebelum gagal pulang, sekali gus mencetuskan kebimbangan ahli keluarga.
Pemangku Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Sentay Bakau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 24 Mac jam 10.18 pagi sebelum operasi SAR segera dilancarkan.
“Operasi pencarian dimulakan dengan menumpukan kawasan sekitar radius empat kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum ditangguhkan pada jam 5 petang dan disambung semula keesokan hari,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR kini memasuki hari keempat dengan usaha pencarian dipergiatkan bersama agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
Menurutnya, pada hari ini operasi bermula jam 9.33 pagi dengan tumpuan pencarian sepanjang laluan kira-kira 2.8 kilometer bermula dari Pos Kawalan sehingga ke kawasan Loji Rawatan Air Pitas.
Operasi turut melibatkan Unit K9 serta kekuatan lapan anggota dengan penggunaan sebuah jentera CFRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR akan diteruskan dengan pemantauan serta kemas kini dari semasa ke semasa.






