KOTA KINABALU: Keputusan mengekalkan harga diesel RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak bukan satu keistimewaan, sebaliknya keperluan berikutan cabaran geografi dan kos logistik.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, penduduk di luar bandar dan pedalaman bergantung kepada diesel, justeru kenaikan harga akan menjejaskan kos sara hidup serta perniagaan kecil.
“Bukan keistimewaan, tetapi keperluan,” katanya.
Beliau berkata subsidi diesel meningkat daripada RM2 bilion pada 2025 kepada RM4.6 bilion tahun ini, mencerminkan komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, konflik Asia Barat turut memberi kesan kepada bekalan tenaga global, namun usaha diplomatik bersama Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, membantu memastikan laluan kapal Malaysia kekal selamat.
Beliau menegaskan dasar itu tidak wajar dipolitikkan kerana penting untuk pembangunan seimbang negara.






