Kerajaan Setuju Laksana Dasar Kerja Dari Rumah Bermula 15 April Ini –...

Kerajaan Setuju Laksana Dasar Kerja Dari Rumah Bermula 15 April Ini – PMX

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai langkah awal menghadapi tekanan semasa, khususnya susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menurutnya, perincian lanjut pelaksanaan dasar berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Sebelum ini kita umum akan ambil langkah awal termasuk sambutan Aidilfitri yang lebih terkawal, selain kerajaan mengurangkan perbelanjaan dengan pendekatan lebih sederhana.

“Saya ucap terima kasih kepada semua yang memahami keadaan ini, tidak angkuh dan tidak boros, kerana masih ramai rakyat seperti petani, nelayan dan pekerja yang terhimpit,” katanya dalam taklimat ringkas, semalam.

Ketegangan di Asia Barat semakin meruncing sejak 28 Februari lalu susulan konflik melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran yang turut memberi kesan kepada ekonomi global termasuk harga tenaga.

Dalam pada itu, Anwar turut menasihatkan golongan berkemampuan supaya tidak alpa, sebaliknya menunjukkan keprihatinan dan membantu rakyat yang terkesan.

Sebagai langkah mitigasi, kerajaan turut menyelaras kuota subsidi bahan api di bawah program BUDI MADANI 95 kepada 200 liter sebulan bermula hari ini secara sementara.

Selain itu, penguatkuasaan pengisian diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan juga telah dimulakan.