KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil langkah memperketat pemantauan bekalan beras susulan laporan kekurangan stok di beberapa kawasan sejak minggu lalu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat sesi libat urus yang dipengerusikannya di Wisma Pertanian, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak kementerian masih menerima maklum balas daripada wakil rakyat di beberapa daerah berhubung kekurangan bekalan beras di kedai dan pasar raya.
“Terdapat rakan-rakan wakil rakyat masih menghantar kekurangan beras melalui gambar dan video di kedai-kedai yang mereka kunjungi,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat tersebut bertujuan mendapatkan gambaran sebenar situasi semasa selain mengenal pasti langkah penyelesaian yang boleh diambil segera.
Dalam masa sama, Jamawi memaklumkan Ketua Menteri Sabah telah mengarahkannya memastikan bekalan beras, khususnya stok penimbal (stockpile), mencukupi bagi tempoh enam bulan.
Katanya, Kabinet Negeri turut mengamanahkannya memastikan keterjaminan makanan termasuk aspek kecukupan bekalan dan kawal selia beras melalui Lembaga Padi dan Beras Sabah.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan LPBS tidak mempunyai punca kuasa penguatkuasaan, khususnya dalam menangani isu penyorokan atau penyeludupan.
“LPBS tidak ada punca kuasa dalam penguatkuasaan, memantau sekiranya ada penyorokan, penyeludupan dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, peranan pemantauan turut digalas oleh BERNAS dan Bahagian Kawal Selia, manakala penguatkuasaan harga dan kawalan pencatutan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Langkah ini penting bagi mengelakkan berlakunya penyeludupan beras dan bekalan ghaib,” katanya.
Sebagai tindakan susulan, satu lagi pertemuan bersama pemain industri dan pembekal padi akan diadakan pada 7 April ini bagi mencari penyelesaian lebih menyeluruh terhadap isu berkenaan.






