JKM Sabah Kesan Waris Bayi Ditemui di Teluk Likas Tahun Lalu

JKM Sabah Kesan Waris Bayi Ditemui di Teluk Likas Tahun Lalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah (JKM) sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi lelaki yang ditemui di Taman Awam Teluk Likas, di sini, Disember tahun lalu.

Bayi berkenaan, dikenali sebagai Arfan Bahri dan dilahirkan pada 20 Disember 2025, ditemui oleh orang awam sebelum diselamatkan dan dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Menurut JKM Sabah, kes tersebut telah dirujuk kepada Pejabat Kebajikan Am Bahagian Kota Kinabalu pada 22 Disember 2025 kerana kanak-kanak berkenaan memerlukan pemeliharaan dan pelindungan.

“Kanak-kanak ini dirujuk sebagai memerlukan pemeliharaan dan pelindungan di bawah Seksyen 17(1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001, dan pada 17 Mac 2026, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kota Kinabalu telah memerintahkan supaya kanak-kanak ini diletakkan sementara di bawah pemeliharaan orang yang layak dan sesuai di bawah Seksyen 25 akta sama,” menurut kenyataan jabatan itu di Facebook pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, pelindung kes turut memperoleh pengecualian di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi membolehkan hebahan kepada media dibuat dalam usaha mengesan ibu kandung serta waris bayi berkenaan.

Sehubungan itu, JKM Sabah memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kelahiran bayi tersebut atau mengenali ibu kandung serta waris tampil membantu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pelindung kes atau hadir ke pejabat bagi membantu jabatan membuat keputusan terbaik demi kebajikan kanak-kanak ini,” jelas kenyataan itu.

Orang ramai boleh menghubungi pelindung kes, Musawer bin Madsan di talian 088-269821 atau melalui emel musawermadsan@jkm.gov.my.