Sabah Pertimbang Pelaksanaan Kerja Dari Rumah, Fokus Kurangkan Penggunaan Minyak – Masidi

Sabah Pertimbang Pelaksanaan Kerja Dari Rumah, Fokus Kurangkan Penggunaan Minyak – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan pelaksanaan dasar kerja dari rumah (WFH) bagi kakitangan awam yang tidak terlibat dalam perkhidmatan kritikal sebagai langkah mengurangkan penggunaan bahan api serta meningkatkan kecekapan operasi.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet negeri dan penilaian sedang dijalankan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (SKN) bagi menentukan pelaksanaan yang bersesuaian.

“Dalam mesyuarat kabinet yang lepas, kita telah mengarahkan SKN untuk membuat penilaian. Antara pendekatan yang dipertimbangkan ialah kerja dari rumah bagi kakitangan kerajaan yang bukan dalam kategori perkhidmatan penting,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Menurutnya, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengenal pasti kategori kakitangan yang layak untuk bekerja dari rumah, dengan mengambil kira keperluan perkhidmatan serta kesesuaian tugas.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil maklum pelaksanaan di peringkat Persekutuan yang membenarkan WFH sehingga tiga hari seminggu, namun Sabah belum menetapkan jumlah hari tertentu setakat ini.

“Kita belum tetapkan berapa hari, tetapi apa yang pasti, bagi mengurangkan penggunaan minyak dan kos berkaitan, kakitangan dalam kategori bukan perkhidmatan penting mungkin diberi kelonggaran untuk bekerja dari rumah dalam beberapa hari,” katanya.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, pelaksanaan dasar itu juga tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Kita mahu pastikan kemudahan kerja dari rumah ini tidak menjejaskan perkhidmatan kerajaan negeri. Perkhidmatan mesti berjalan seperti biasa dengan gangguan minimum,” tegasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa jumlah sebenar kakitangan yang terlibat masih belum diputuskan, memandangkan terdapat kira-kira 20,000 penjawat awam negeri dan tidak semuanya layak untuk skim tersebut.

“Tidak semua akan layak kerana kita perlu mengambil kira faktor seperti sama ada mereka terlibat dalam perkhidmatan penting atau tidak,” katanya.

Tambah beliau, dasar berkenaan dijangka selari dengan pendekatan di peringkat Persekutuan, namun pelaksanaannya akan disesuaikan mengikut keperluan dan situasi di Sabah.