Tangguh Bayaran 40 Peratus: Tamparan Hebat Aspirasi Rakyat Sabah – Penganalisis

Tangguh Bayaran 40 Peratus: Tamparan Hebat Aspirasi Rakyat Sabah – Penganalisis

0
SHARE

KOTA KINABALU: Keputusan membenarkan penangguhan pembayaran 40 peratus hasil bersih kepada Sabah disifatkan sebagai tamparan hebat terhadap aspirasi rakyat negeri itu, sekali gus berpotensi menjejaskan pemulihan ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

Penyelidik Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPES), Prof Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad, berkata tuntutan berkenaan merupakan hak perlembagaan yang jelas termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, penangguhan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kedudukan kewangan negeri, malah melambatkan usaha merapatkan jurang pembangunan yang memerlukan suntikan dana besar.

Bagi rakyat Sabah, setiap kelewatan bermakna peluang untuk menikmati infrastruktur asas yang lebih baik serta sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien terus tertangguh,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan, kegagalan menyalurkan dana tersebut berpotensi menjejaskan pelaksanaan projek kritikal termasuk naik taraf bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya yang sekian lama menjadi keperluan mendesak rakyat.

Katanya, walaupun Sabah kaya dengan sumber alam, negeri itu masih berdepan kadar kemiskinan yang tinggi, justeru bayaran 40 peratus berkenaan bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi pemangkin utama kepada transformasi ekonomi dan pembangunan luar bandar.

Dalam masa sama, beliau menegaskan ketidakstabilan dari segi kawalan kewangan akan menyukarkan kerajaan negeri merancang pembangunan jangka panjang yang mampan dan berdaya saing.

Mengulas kesan sosial, beliau berkata kelewatan berterusan turut menjejaskan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman yang masih berdepan kekurangan kemudahan pendidikan dan kesihatan.

“Ketidakpastian mengenai bila bayaran ini akan dilunaskan telah mewujudkan sentimen kekecewaan dalam kalangan rakyat, apatah lagi sumbangan hasil Sabah kepada negara adalah signifikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keadilan kepada Sabah tidak seharusnya ditangguhkan atas alasan teknikal perundangan semata-mata, sebaliknya kepentingan rakyat perlu diutamakan bagi memastikan keharmonian Persekutuan terus terpelihara.

Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri akan terus mencari penyelesaian pragmatik bagi melunaskan bayaran tersebut demi memastikan limpahan ekonomi dapat dirasai seluruh rakyat Sabah.