KOTA KINABALU: Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, didesak mempertimbangkan peletakan jawatan negeri susulan kegagalan memuktamadkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Naib Ketua AMK Sabah, Eldridge Laurence Timis, berkata sikap kedua-duanya yang lantang mengkritik tetapi gagal mencapai penyelesaian konkrit adalah mengecewakan.
“Jika benar beliau serius memperjuangkan hak Sabah, maka tindakan paling berintegriti adalah mempertimbangkan peletakan jawatan di peringkat negeri,” katanya merujuk kepada Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Menurutnya, rundingan teknikal antara kerajaan negeri dan Persekutuan melalui mekanisme “government-to-government” adalah proses terbaik ketika ini dan perlu diberi ruang bagi memuktamadkan formula serta jumlah bayaran berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan kegagalan mencapai persetujuan bukan alasan untuk mempolitikkan isu, sebaliknya tanggungjawab bersama kedua-dua kerajaan.
Eldridge turut mempersoalkan peranan Madius selaku pengerusi sebuah GLC negeri, sama ada benar-benar memperjuangkan kepentingan Sabah atau sekadar bermain retorik politik.
“Rakyat Sabah tidak memerlukan retorik politik yang berterusan. Apa yang diperlukan adalah kepimpinan yang berani membuat keputusan dan mencapai hasil,” katanya.
Sementara itu, Madius dalam reaksinya di Facebook menolak desakan tersebut dengan menyatakan beliau tidak akan akur kepada saranan berkenaan.
“Saya tidak mampu menurut arahan AMK Sabah dalam perkara ini… perjuangan ini bukan bersifat peribadi tetapi demi hak yang telah termaktub,” katanya.
Beliau turut menegaskan tuntutan 40 peratus bukan bertujuan menentang mana-mana pihak, sebaliknya memastikan hak Sabah dilaksanakan secara adil dan bermaruah.






