KOTA KINABALU: Sebanyak 71.3 tan lebihan makanan berjaya diselamatkan sepanjang Ramadan tahun ini melalui pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) yang digerakkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama rakan strategik di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2.6 tan makanan berjaya diselamatkan di Sabah dan diagihkan kepada golongan memerlukan, hasil pelaksanaan program i-FB@Bazar Ramadan 2026 yang melibatkan 119 bazar serta 2,875 sukarelawan di seluruh negara.
Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pendekatan bersepadu antara kerajaan, industri dan komuniti dalam mengurangkan pembaziran makanan selain memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Sepanjang Ramadan lalu, melalui i-FB@Bazar Ramadan 2026, kita berjaya menyelamatkan sebanyak 71.3 tan lebihan makanan. Ini membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif mampu meminimakan pembaziran makanan, memperluas manfaat kepada komuniti serta memelihara alam sekitar melalui pengurangan pelepasan karbon dioksida,” katanya ketika ditemui media selepas program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan memaklumkan KPDN terus memperkukuh kerjasama bersama rakan strategik termasuk pihak industri, peniaga dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluas pelaksanaan inisiatif berkenaan yang diselaraskan melalui Sekretariat i-FB di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Terbaharu, syarikat pembekal dan peruncit makanan sejuk beku halal, Jetsin Sdn. Bhd. yang beroperasi di Kota Kinabalu, hari ini secara rasmi menyertai inisiatif tersebut bersama Persatuan Jurumasak Sabah dan Persatuan Dapur Kita Sabah.
Melalui kerjasama itu, sebanyak 200 pek makanan bermasak disalurkan kepada golongan memerlukan menerusi program i-FB@Dapur Kita-Kita, yang turut melibatkan penyertaan sukarelawan dalam kalangan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar bandar raya ini.
Menurut beliau, komitmen sektor swasta seperti Jetsin Sdn. Bhd. amat dihargai kerana selari dengan pendekatan “Santuni Komuniti, Sayangi Alam, Selamatkan Makanan” yang menjadi teras pelaksanaan i-FB.
“KPDN amat menghargai keprihatinan pihak industri dalam membantu masyarakat. Pendekatan seluruh negara yang melibatkan kerajaan, industri dan komuniti ini penting dalam memastikan kelestarian program serta impaknya kepada rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, KPDN melalui Sekretariat i-FB di bawah NACCOL kini sedang menyediakan Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan bagi memperkasa lagi inisiatif berkenaan, termasuk mengenal pasti bentuk pengiktirafan kepada pihak yang menunjukkan komitmen berterusan dalam menjayakan usaha tersebut.






