KOTA KINABALU: Peluasan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi bandar, dengan kerugian dianggarkan boleh mencecah sehingga RM1 bilion sebulan, menurut pakar industri.
Pengerusi Emeritus Malaysia Chamber of Commerce, Dr Chris Daniel Wong berkata, walaupun WFH mampu menjimatkan kira-kira RM169 juta sebulan dalam subsidi bahan api, impak kepada perbelanjaan bandar jauh lebih besar.
Beliau menganggarkan pengurangan aktiviti ekonomi di kawasan bandar, khususnya Lembah Klang, boleh menyebabkan kerugian antara RM320 juta hingga RM495 juta sebulan.
“Dengan mengambil kira kesan pengganda, jumlah penguncupan ekonomi boleh meningkat sehingga RM480 juta hingga RM1 bilion sebulan, sekali gus mengatasi sebarang penjimatan fiskal,” katanya dalam satu kenyataan.
Chris berkata sektor makanan dan minuman dijangka kehilangan RM100 juta hingga RM180 juta sebulan, manakala sektor runcit boleh susut RM75 juta hingga RM125 juta.
Stesen minyak turut dijangka terkesan teruk dengan kerugian antara RM150 juta hingga RM250 juta sebulan, diikuti perkhidmatan pengangkutan awam dan e-hailing antara RM60 juta hingga RM90 juta.
Beliau berkata hasil parkir dan tol juga dijangka menurun antara RM25 juta hingga RM40 juta sebulan, dengan sektor berkaitan mobiliti antara paling terjejas.
Chris turut mencadangkan moratorium pinjaman bersasar selama enam hingga 12 bulan bagi perniagaan yang terkesan, terutama di kawasan bandar yang mengalami penurunan aktiviti ekonomi.
Inisiatif WFH yang dijadual bermula 15 April bagi kakitangan kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilaksanakan ketika kos bahan api meningkat susulan gangguan rantaian bekalan global.
Walaupun begitu, beliau berkata dasar itu perlu diteliti semula bagi memastikan keseimbangan antara penjimatan fiskal dan kesan kepada ekonomi sebenar bandar.






