Penganggur Pukul Ibu 77 Tahun dan Anak Buah Guna Penyapu

Penganggur Pukul Ibu 77 Tahun dan Anak Buah Guna Penyapu

0
SHARE
Gambar Hiasan

KUANTAN: Seorang lelaki penganggur ditahan polis kerana dipercayai memukul ibu dan anak saudara perempuannya menggunakan penyapu dan topi keledar di hadapan sebuah rumah di sebuah taman perumahan Mentakab, dekat Temerloh.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan pagi tadi, berhampiran rumahnya kerana dikatakan telah melarikan diri dengan menunggang motosikal selepas kejadian pada jam 4.30 petang semalam.

“Suspek yang tidak bekerja dipercayai memukul tangan kanan anak saudaranya dengan menggunakan penyapu semasa mangsa datang ke rumah itu bersama ibu suspek dan seorang wanita Indonesia untuk membersihkan rumah.

“Tindakan suspek menyebabkan mangsa bertindak keluar dari rumah, namun suspek didakwa mengikut mangsa sebelum memukulnya di belakang kepala dan badan menggunakan topi keledar di hadapan rumah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya lagi, ibu suspek yang berusia 77 tahun cuba membantu mangsa yang berusia 31 tahun dengan memukul suspek menggunakan penyapu, namun suspek dikatakan merebut penyapu itu yang kemudian digunakan untuk memukul muka ibunya.

Kejadian itu menyebabkan ibu suspek cedera di muka manakala anak saudaranya cedera di tangan, bahu kanan serta bahagian belakang kepala. 

Siasatan awal mendapati, suspek terbabit tinggal di rumah itu selepas ibunya memilih untuk keluar dan menetap di rumah anaknya yang lain yang terletak di taman perumahan berhampiran rumah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif suspek berbuat demikian dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu, jika disabit bersalah.