SANDAKAN, SABAH – Daerah ini merekodkan kematian ketiga akibat denggi, kali ini membabitkan seorang kanak-kanak, minggu lepas.
Jumlah kes dilaporkan terus meningkat mendorong Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar, untuk meminta kerjasama daripada penduduk menghentikannya.
Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan 3,546 kes di seluruh negeri pada 9 Sept, Sandakan merupakan daerah kedua paling teruk terjejas dengan 823 kes, manakala Kota Kinabalu adalah yang paling teruk iaitu 939 kes.
“Penyumbang utama kes ini termasuk kawasan Batu 7 yang merekodkan kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan di daerah ini.
“Terdapat tiga lokaliti yang dikenal pasti di kawasan itu iaitu Kg Tinusa 2 Darat, Kg Tinusa 2 Laut dan Taman Indah Jaya Fasa 1,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.
“Marilah kita semua bekerja lebih keras untuk memerangi denggi. Musnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Mereka yang tidak sihat, sila dapatkan rawatan perubatan segera…
“Orang ramai harus mula mengambil berat tentang diri mereka dan orang tersayang dengan bekerjasama untuk memerangi denggi,” tambahnya.
Daerah lain yang mempunyai jumlah kes denggi yang tinggi ialah Tawau dengan 330 kes, Lahad Datu (262), Putatan (242), Semporna (221), Penampang (153) dan Papar (142).





