TAWAU: Seorang lelaki tempatan disyaki merogol seorang remaja wanita yang berada dalam keadaan mabuk berjaya ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan dibuat, dalam kejadian di sebuah hotel di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, suspek berusia sekitar 28 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau di Kampung Pukat.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang berada di sebuah kelab malam di kawasan Kubota Central dalam keadaan lemah telah dibawa suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda ke sebuah hotel.
“Semasa berada di hotel, mangsa menyedari dirinya telah dirogol sebelum tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
“Bertindak atas laporan itu, pihak polis berjaya mengesan dan menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan sebelum ini.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan golongan wanita agar sentiasa menjaga keselamatan diri, mengelakkan berada dalam situasi berisiko serta sentiasa berwaspada.
“Saya ingin menekankan agar wanita sentiasa berhati-hati dan tidak berada bersendirian dalam keadaan yang boleh mendedahkan kepada risiko jenayah,” katanya.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.






