NABAWAN: Isu berlarutan hampir enam dekad membabitkan skim penempatan tanah di Nabawan kini diberi perhatian serius apabila satu jawatankuasa pembangunan diaktifkan semula bagi mempercepat penyelesaian berkaitan pemilikan, pembangunan dan hak penduduk.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, keputusan itu dicapai dalam sesi dialog bersama penduduk di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, skim berkenaan yang telah wujud sejak kira-kira 58 tahun lalu dan digazetkan seawal 1958 masih berdepan pelbagai isu yang belum diselesaikan sehingga kini.
“Susulan daripada soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan pada sidang DUN lalu, kawasan ini perlu diberi perhatian dan dibangunkan, termasuk menunaikan janji berkaitan pemberian geran tanah,” katanya.
Beliau berkata, hasil dialog mendapati banyak perkara perlu ditangani, khususnya berkaitan pemilikan tanah, pembangunan kawasan serta hak penduduk yang berpindah dari kampung asal sejak 1960-an tetapi masih belum ditunaikan sepenuhnya.
Jamawi menjelaskan, kawasan itu sebelum ini diamanahkan kepada kementeriannya untuk dibangunkan di bawah Lembaga Padi Negeri Sabah, namun pendekatan baharu yang lebih menyeluruh kini diperlukan.
“Saya datang untuk mendengar sendiri keluhan, cadangan dan pandangan masyarakat bagi membolehkan kementerian membantu secara lebih berkesan,” katanya.
Menurutnya, jawatankuasa pembangunan skim Nabawan yang telah lama ditubuhkan kini diaktifkan semula, dipengerusikan Pegawai Daerah serta diselaraskan bersama ADUN Nabawan.
Katanya, jawatankuasa itu akan mengumpul semua cadangan dan memorandum sebelum diperhalusi dan dikemukakan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.
“Di pihak kementerian, kita akan membantu sebaik mungkin berdasarkan cadangan daripada pihak daerah, pimpinan tempatan dan masyarakat kampung termasuk wakil Ketua Anak Negeri, ketua kampung serta ketua daerah,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan susulan akan diambil bagi memastikan hak penduduk dapat dipenuhi selepas melalui proses penilaian di peringkat daerah.
Dalam pada itu, Jamawi turut memberi perhatian terhadap tanah yang telah digazetkan tetapi masih belum dibangunkan termasuk kawasan dikenal pasti sebagai tanah KPD dan kategori lain.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya akan memastikan amanah ini dilaksanakan dengan sebaiknya untuk membangunkan kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan tanah berkenaan bukan sahaja meningkatkan ekonomi setempat, malah membuka peluang pekerjaan kepada generasi kedua, ketiga dan keempat penduduk di Nabawan.
Pada masa sama, katanya, kementerian memberi fokus kepada aspek keterjaminan makanan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import, dengan tumpuan kepada komoditi seperti beras, padi dan jagung.
“Sebagai contoh, tahap sara diri bagi jagung ketika ini hanya sekitar dua peratus, jadi kita memerlukan lebih banyak kawasan tanah untuk dibangunkan bagi tanaman ini,” katanya.
Jamawi yakin Nabawan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian berskala besar yang mampu menyumbang kepada bekalan makanan negeri.
Tambahnya, kementerian turut merancang pembangunan pertanian secara mekanisasi menggunakan teknologi moden bagi mengurangkan kos serta menarik minat golongan muda menceburi sektor tersebut.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama erat antara kementerian, kepimpinan tempatan dan masyarakat dapat merealisasikan pembangunan lebih teratur serta meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.
Dalam program berasingan, Jamawi turut menghadiri taklimat berkaitan pembangunan jalan di daerah Tenom serta isu berkaitan Jabatan Kerja Raya (JKR) Tenom di Pejabat Daerah Tenom.






