KOTA KINABALU, SABAH – Penduduk Sabah diarah terus patuh SOP jika tidak mahu rugi membayar kompaun maksima RM50,000 kelak.
Berikut penjelasan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali selepas tular sebuah artikel di laman Free Malaysia Today mengisahkan seorang penjual ‘Sinalau Bakas’ (babi hutan panggang), Rayner Longtin, yang dikenakan denda tersebut Isnin lalu.
Artikel berkenan berjaya meraih belas kasihan netizen namun sesetengah fakta tidak tepat kata Hamizi.
Mengulas lebih lanjut, polis telah menahan 8 individu dari 3 gerai di Jalan Sulaman berdasarkan maklumat orang kampung yang serik dengan karaoke dan muzik yang dipasang kuat sehingga lewat malam sedangkan hendak tidur dan berehat.
“Siasatan awal mendapati gerai tersebut tidak memiliki lesen perniagaan, lesen menjual minuman keras, lesen hiburan awam mahupun permit menjual daging buruan liar dari Jabatan Hidupan Liar Sabah,” katanya.
Dalam artikel tersebut, yang dikompaun, mengatakan gerainya sudah pun ditutup dan beliau hanya menunggu rakannya untuk bersama pulang ke rumah.
Hazani pula berkata pasukan polis yang tiba mendapati muzik masih bermain dengan kuat, sementara makanan dan minuman masih terhidang di atas meja dan dua rakan itu sebenarnya pekerja Rayner.
Kedua individu itu masing-masing didenda RM 10,000.
Memetik dari artikel tersebut, Rayner berkata RM 50,000 bukanlah sebuah jumlah yang kecil kepada dirinya yang ‘kais pagi makan pagi’.
“Tindakan yang diambil adalah wajar dan bukanlah diambil tanpa budi bicara,” Hazani berkata.
“Situasi pandemik ini memberi tekanan kepada semua pihak terutama sekali petugas barisan hadapan…
“Pihak polis amat memhami keadaan masyarakat semasa dan cuba bertoleransi namun kini cacing naik ke mata apabila individu sewenangnya melanggar peraturan SOP dan menggunakan alasan ‘mahu cari makan’ bagi menutup kesalahan yang dilakukan.
“Jangan gunakan media sosial untuk menegakkan benang yang basah dan menunding jari kepada pihak penguatkuasa seolah bersikap zalim dan tidak menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya kepada media di IPK Kepayan.