SANDAKAN, SABAH – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Sandakan mengesahkan seluar dalam lelaki ataupun ‘boxer’ didapati tertera ayat al-Quran.
Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Sandakan, Romzi Abdul Rahman berkata, perkara itu tular melalui laman media sosial Facebook sebelum ini.

Menurutnya, susulan itu pihaknya telah bergegas untuk segera membuat pemeriksaan ke pasar raya seperti mana yang ditularkan.
“Susulan itu, kami bergegas ke cawangan pasar raya berkenaan dan menemui ‘boxer’ itu masih dipamerkan lagi untuk tujuan dijual.,,
“Kami merampas sehelai untuk tindakan lanjut dan meminta pasar raya tidak menjual boxer terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Romzi berkata, pasar raya berkenaan memaklumkan mereka tidak terlibat dalam menghasilkan ‘boxer’ itu dan pihak syarikat terbabit dilaporkan sudah mengeluarkan arahan penarikan ‘boxer’ itu.
“Seterusnya kami membuat pemantauan ke pasar raya lain dan menemui sebuah lagi pasar raya turut menjual boxer itu dan mereka kemudiannya menyimpannya…
“Setakat ini semua pasar raya yang menjual boxer itu sudahpun diminta tidak menjual ‘boxer’ terbabit.
“Bagaimanapun, tindakan lanjut akan diambil bagi menangani perkara tersebut,” katanya.