KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang menahan sakit selama lima hari sebelum rebah dan meninggal dunia akibat serangan jantung menghadiahkan peluang hidup kepada insan lain melalui pendermaan organ, dalam satu kisah menyentuh hati yang tular sejak Ahad.
Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada awal pagi Ahad selepas mengalami komplikasi kesihatan yang pada awalnya disangka gastrik.
Memetik laporan Sinar Harian, bapa saudara arwah, Azlan Yahya, 58, berkata, keputusan untuk membenarkan pendermaan organ bukan sesuatu yang mudah, namun keluarga reda demi menyelamatkan nyawa orang lain.
“Bukan satu keputusan yang mudah untuk kami lakukan, tetapi memandangkan ada keperluan untuk menyelamatkan nyawa insan lain, kami reda,” katanya.
Menurutnya, arwah yang merupakan tukang masak dan bapa kepada tiga anak itu mengalami simptom gastrik selama lima hari sebelum tiba-tiba rebah di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke klinik di Wakaf Tapai bersama ibu bapanya.
Arwah kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Wakaf Tapai sebelum dipindahkan ke Hospital Hulu Terengganu dan seterusnya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSNZ selepas diberikan bantuan pernafasan.
Bagaimanapun, Muhammad Syukri menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.06 tengah malam.
Kisah arwah menjadi tular di media sosial selepas upacara ‘Walk of Honor’ diadakan di HSNZ sebagai penghormatan terakhir oleh petugas kesihatan sebelum prosedur pengambilan organ dijalankan sekitar jam 5 pagi.
Mengulas peribadi arwah, Azlan menyifatkannya sebagai seorang yang penyayang, periang dan ringan tulang membantu keluarga, selain tidak pernah meninggikan suara terhadap anak-anaknya yang masih kecil, berusia satu hingga enam tahun.
Tambahnya, arwah juga tidak mempunyai sejarah penyakit kronik, namun sifatnya yang sentiasa membantu orang lain mendorong keluarga untuk meneruskan pendermaan organ sebagai amal jariah terakhir.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke Kampung Tok Dor untuk penghormatan terakhir sebelum solat jenazah di Masjid Tok Dor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Peroh pada malam Ahad.
Sementara itu, menurut laporan sama, Bahagian Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu memaklumkan HSNZ merekodkan empat penderma organ setakat April 2026, sekali gus mencerminkan keprihatinan masyarakat dalam usaha menyelamatkan nyawa insan lain.






