KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menjangka jumlah penerima Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) meningkat kepada 140,000 orang berbanding 100,000 ketika ini, sebagai langkah memperkukuh bantuan kepada rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peningkatan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM339.16 juta, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, terus terpelihara.
“Sehubungan dengan itu, pelbagai bentuk bantuan kewangan disalurkan secara berterusan dan bersasar. Antaranya ialah Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), yang menyediakan bantuan bulanan selama 12 bulan kepada 100,000 orang penerima, dan bilangan ini dijangka meningkat kepada 140,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta.
“Inisiatif ini dilaksanakan selari dengan program bantuan di peringkat Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang – Warisan) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, di sini, hari ini.
Selain bantuan kewangan langsung, Hajiji berkata kerajaan negeri turut memperkasa usaha di peringkat isi rumah melalui pelaksanaan program Kebun Dapur bagi menggalakkan rakyat menghasilkan bekalan makanan sendiri.
“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan harian, malah meningkatkan daya tahan isi rumah terhadap kejutan harga dan gangguan bekalan makanan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menggalakkan penggunaan produk keluaran tempatan yang lebih berpatutan dan berkualiti, sekali gus merangsang permintaan domestik serta menyokong pertumbuhan industri tempatan.
Bagi mengurangkan beban kos utiliti, katanya, beberapa inisiatif turut dilaksanakan termasuk Program Rebat Bil Elektrik RM40 kepada Ketua Isi Rumah berdaftar dengan eKasih serta diskaun 10 peratus bil elektrik kepada rumah kebajikan, rumah ibadah dan institusi pendidikan kerajaan serta separa kerajaan.
Tambahnya, diskaun 10 peratus turut diberikan kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan bagi menyokong keterjaminan makanan dan kestabilan rantaian bekalan.
“Selain itu, pelaksanaan Off-Peak Tariff Rider (OPTR) iaitu diskaun 20 peratus bagi penggunaan waktu bukan puncak diteruskan kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah untuk membantu mengurangkan beban peniaga kecil,” katanya.






