KOTA KINABALU, SABAH – Setiausaha Agung Parti Progresif (SAPP) Sabah Datuk Yong Teck Lee mencadangkan kerajaan memvaksinasi segera pemandu, penghantar barangan dan makanan termasuk ‘rider’ serta kakitangan syarikat sebaik golongan petugas barisan hadapan (frontliners) dan warga emas siap divaksin.
Yong berkata pekerja ‘e-hailing’ dan penghantar makanan juga perlu diberi keutamaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di atas sebab kekerapan kontak rapat dengan pelanggan.
“Sifat pekerjaan mereka terpaksa berkontak rapat dengan pelbagai individu dan kawasan. Pada waktu sedang menunggu pesanan pun mereka akan berkumpul sesama diri…
“Sekarang setelah kita memperoleh lebih banyak dos vaksin, Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang diketuai Setiausaha Negeri harus fokus pada mereka yang kerja memerlukan mobiliti tinggi dan kontak luas,” katanya.
Yong berkata lagi, jika semua pemandu termasuk teksi dan bas telah divaksin mereka boleh beroperasi dalam keadaan lebih fleksibel serta penumpang merasa lebih selamat.
“Sebilangan besar vaksin sedang dalam proses tiba ke Sabah dan CITF harus mempercepat program vaksinasi dengan strategi yang tepat,” tambah beliau.