PPM Kota Kinabalu Tahan Kapal Pukat Tunda Kerana Simpan Minyak Diesel Tanpa...

PPM Kota Kinabalu Tahan Kapal Pukat Tunda Kerana Simpan Minyak Diesel Tanpa Permit

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu telah menahan sebuah kapal nelayan pukat tunda kerana menyimpan minyak diesel tanpa permit kebenaran KPDNHEP.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu, ASP Roslan Bin Awang berkata, kapal nelayan tersebut telah ditahan di perairan SAFMA Kota Kinabalu dalam satu Operasi Terancang sekitar jam 5 petang kelmarin.

Pemeriksaan lanjut telah dijalankan dan mendapati terdapat 8 Buah tangki telah diubahsuai di bahagian dalam ruangan enjin kapal berisi lebih kurang 5,000 liter minyak Diesel.

“Manakala sebuah lagi tangki turut diubahsuai di bahagian haluan kapal dan berisi lebih kurang 1,700 liter minyak Diesel,” jelasnya.

Keseluruhan minyak Diesel yang disorokkan adalah dianggarkan sebanyak 6,700 liter. Turut dijumpai semasa pemeriksaan dijalankan adalah sebuah pam mudah alih dan satu gulung hos.

“Seorang Juragan kapal lelaki tempatan berusia dalam lingkungan umur 63 Tahun turut diperiksa…

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati Juragan tersebut gagal mengemukakan sebarang permit membeli, menyimpan, membawa dan memasarkan minyak Diesel daripada KPDNHEP,” kata Roslan.

Tambahnya lagi, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM266,905 dan pada itu Kapal Nelayan Pukat Tunda tersebut bersama Juragan ditahan dan dibawa ke Markas Operasi Polis Marin Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.