KOTA KINABALU: Projek Skim Bekalan Air Lahad Datu Fasa 1 kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan kemajuan fizikal sebanyak 91.66 peratus.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, projek itu dijangka siap pada 10 Julai 2027.
“Projek ini merangkumi pembinaan sebuah Loji Rawatan Air (LRA) baharu yang mempunyai kapasiti 60 Juta Liter Sehari (JLH).
“Projek ini dijangka meningkatkan kecekapan operasj, kapasiti pengeluaran serta keupayaan sistem bekalan air secara menyeluruh.
“Pelaksanaannya akan memberi manfaat kepada kira-kira 230,960 penduduk serta sektor industri di daerah Lahad Datu, di samping memperluas liputan dan menambah baik tahap perkhidmatan bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dari Muhammad Abdul Karim (Segama – Warisan) pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 di sini, hari ini.
Tambah ADUN Kundasang itu, kawasan yang akan mendapat manfaat daripada projek ini merangkumi Jalan Segama; Jalan Bakawali; Taman CL; Kampung Damai; Kimbell; Jalan Dam; Taman Executive; Taman Lily; Jalan Agaseh; Jalan Tengah Nipah; Kampung Sabah Baru PRKT 1; Jalan Kastam Baru; POIC serta seluruh kawasan bandar Lahad Datu.






