KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) termasuk Hari Kelepasan (Pindaan) 2026; Pengangkatan (Pindaan) 2026; Pengurusan Bangunan 2026; dan Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026.
Keempat-empat RUU berkenaan diluluskan oleh Speaker DUN, Datuk Seri Kadzim M Yahya selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai ketika membentangkan RUU Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 berkata, RUU itu bertujuan untuk meminda Enakmen Hari Kelepasan [Bab 56], khususnya subseksyen 3(3), bagi memperjelaskan kedudukan undang-undang berhubung pemberian hari kelepasan am apabila berlaku pertindihan hari kelepasan pada hari Ahad.
“Pindaan ini adalah perlu bagi menutup kelompongan peruntukan sedia ada serta memastikan tafsiran yang jelas, konsisten dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaannya.
“Pindaan ini juga bertujuan memastikan peruntukan negeri Sabah selaras dengan Holidays Act 1951 [Act 369] di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki yang membentangkan RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026 berkata, Ordinan Pengangkatan 1960 merupakan undang-undang untuk mentadbir pengangkatan anak di Negeri Sabah.
“Pada 21 November 2024, DUN Sabah telah meluluskan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 yang bertujuan untuk menyediakan peruntukan khusus mengenai pengangkatan anak di kalangan umat Islam di Negeri Sabah dan Enakmen tersebut telah mula berkuat kuasa pada 26 Disember 2024.
“Ia memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan perintah pengangkatan serta menetapkan syarat-syarat pengangkatan, proses persetujuan, pengecualian persetujuan dan sekatan di dalam menarik balik persetujuan.
“Sehubungan itu, bagi memperuntukkan bahawa Ordinan Pengangkatan 1960 tidak terpakai kepada orang Islam dan untuk membolehkan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 dilaksanakan dan dikuatkuasakan, pindaan ke atas Seksyen 23 Ordinan Pengangkatan 1960 perlu dilaksanakan memandangkan seksyen ini menghalang pemakaian mana-mana undang-undang lain termasuk Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 bagi hal perkara berkaitan dengan pengangkatan anak,” katanya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang membentangkan RUU Pengurusan Bangunan 2026 berkata, melalui Enakmen ini, semua jenis pembangunan berhak milik subsidiari termasuk kediaman, komersial dan pembangunan bercampur (mixed development) akan dikawal selia secara lebih komprehensif.
“Ini termasuk peruntukan bagi penubuhan subsidiary management corporation (sub MC) bagi setiap presint (kawasan khusus) di dalam sesuatu pembangunan berskala besar, supaya pengurusan dapat dilaksanakan secara lebih fokus dan bersesuaian dengan fungsi masing-masing,” katanya.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih ketika membentangkan RUU Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026 berkata, pembentangan itu dibuat bagi mewujudkan satu kerangka perundangan yang lebih menyeluruh, moden dan praktikal untuk memudah cara pecah bahagi bangunan atau tanah kepada petak-petak yang akan dipegang di bawah hakmilik subsidiari, serta bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
“Dari sudut dasar, Rang Undang-Undang ini merupakan langkah pembaharuan penting kerana ia tidak lagi terhad kepada bangunan semata-mata seperti di bawah Enakmen 1972, sebaliknya meliputi bangunan atau tanah, termasuk tanah yang mempunyai dua atau lebih bangunan yang boleh dipecah bahagi kepada landed parcels.
“Ini menunjukkan peluasan skop undang-undang agar selaras dengan keperluan pembangunan semasa dan model pembangunan berstrata yang semakin pelbagai di Sabah,” katanya.






