SEMPORNA: Maritim Malaysia Zon Semporna menggagalkan cubaan pengeboman ikan selepas merampas 23 guni baja amonia seberat kira-kira 575kg dalam operasi di perairan Pulau Bum Bum, petang Ahad.
Bot ronda mengesan sebuah bot pam mencurigakan sebelum suspek melarikan diri dengan terjun ke laut dan berenang ke daratan.
Pemeriksaan menemukan baja amonia dipercayai untuk aktiviti bom ikan.
Komander Maritim Amir Shubli menegaskan rampasan itu mencerminkan komitmen tegas pihaknya memerangi jenayah yang merosakkan ekosistem marin, sambil memberi amaran kesan serius terhadap terumbu karang jika bahan itu digunakan.
Beliau berkata tindakan itu juga penting bagi melindungi reputasi Semporna sebagai destinasi pelancongan serta kelangsungan ekonomi setempat.
Rampasan dibawa ke Jeti Kem Azumi untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Bekalan 1961.






