NCMS Dilancar, Mudahkan Urusan Perkahwinan Adat di Sabah Melalui Digitalisasi – Arifin

NCMS Dilancar, Mudahkan Urusan Perkahwinan Adat di Sabah Melalui Digitalisasi – Arifin

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Native Court Management System (NCMS) oleh Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) menjadi langkah penting dalam memodenkan pengurusan perkahwinan adat apabila sistem berasaskan digital itu kini memudahkan urusan pendaftaran, pembayaran dan pendokumentasian di Mahkamah Anak Negeri seluruh Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, inisiatif digitalisasi berkenaan bukan sahaja meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, malah mampu mengurangkan ketirisan serta memastikan rekod lebih telus dan tersusun.

“Digitalisasi NCMS ini sangat baik untuk memudahkan urusan masyarakat, melaksanakannya dengan lebih berkualiti serta menjadi satu bentuk pendokumentasian yang lebih sistematik bagi urusan perkahwinan adat di Mahkamah Anak Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JHEANS bagi tahun 2025, pada Isnin.

Pelancaran NCMS oleh Arifin…

Menurutnya, sistem tersebut telah mula beroperasi dan menerima maklum balas positif daripada masyarakat, sekali gus membuktikan keperluan transformasi digital dalam perkhidmatan awam selaras dengan perkembangan semasa.

Dalam pada itu, Arifin turut mencadangkan agar JHEANS mempertimbangkan pengenalan kad nikah sebagai pelengkap kepada sijil nikah digital sedia ada bagi meningkatkan lagi keberkesanan sistem tersebut.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan keperluan jabatan untuk terus memperkukuh strategi dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin dinamik termasuk perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), di samping memastikan sistem penyampaian kekal pantas dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada JHEANS atas penganjuran Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang disifatkan sebagai platform penting dalam mengiktiraf dedikasi serta prestasi tinggi warga jabatan.

Beliau turut memuji pelancaran Pelan Strategik JHEANS pada Februari lalu yang menjadi panduan hala tuju jabatan secara lebih terancang dan tersusun, selain membuka ruang ke arah pensijilan MS ISO 9001:2015.

Pada masa sama, Arifin menegaskan peranan penting JHEANS dalam memelihara warisan serta undang-undang adat anak negeri Sabah agar terus relevan dan terpelihara.

Sementara itu, beliau turut merakamkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta warga JHEANS atas komitmen dan kecemerlangan perkhidmatan, selain menghargai sumbangan para pesara dan warga kerja yang berpindah ke jabatan lain.