KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) mendedahkan lima peruntukan kritikal dalam Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) yang didakwa berpotensi menghakis autonomi imigresen Sabah serta menjejaskan kuasa eksklusif kerajaan negeri di pintu masuk negeri ini.
Presidennya, Azizah S Ahmad berkata, beberapa peruntukan dalam akta berkenaan bukan sahaja mewujudkan pertindihan bidang kuasa, malah boleh memberi kesan langsung terhadap operasi dan kedudukan Pegawai Imigresen Sabah.
Beliau berkata, antara kebimbangan utama ialah pengecualian terhad di bawah Jadual Kedua Akta 860 yang hanya melibatkan Seksyen 9, Seksyen 9A dan Bahagian V Akta Imigresen 1959/63, sekali gus membolehkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menguatkuasakan Bahagian VII akta sama yang merangkumi kuasa khas Malaysia Timur.
“Kegagalan mengecualikan Bahagian VII secara khusus membuka ruang kepada pencerobohan kuasa negeri dan membolehkan AKPS mengambil alih kawalan di pintu masuk Sabah tanpa sekatan bidang kuasa yang jelas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, KPPIS turut mempersoalkan Seksyen 6(3) Akta 860 yang didakwa mengandungi kelompongan perundangan berkaitan kuasa pengeluaran pas dan permit.
Katanya, walaupun AKPS diwajibkan mematuhi arahan kerajaan negeri bagi fungsi pemeriksaan keluar masuk individu, peruntukan berkaitan pengeluaran pas dan permit pula didakwa tidak tertakluk secara jelas kepada kuasa negeri.
“Keadaan ini boleh menjejaskan kuasa mutlak Ketua Menteri Sabah seperti diperuntukkan di bawah Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 65 Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Selain itu, Azizah berkata, Seksyen 4(4) Akta 860 yang meletakkan kuasa penuh operasi di bawah Ketua Pengarah AKPS juga dikhuatiri memintas hierarki Jabatan Imigresen Sabah.
Beliau berkata, keadaan itu boleh menyebabkan Pegawai Imigresen Sabah berdepan dilema sekiranya menerima arahan yang bercanggah antara pihak persekutuan dan kerajaan negeri.
“Pegawai di lapangan boleh terdedah kepada risiko pelanggaran prosedur operasi standard sekiranya berlaku percanggahan arahan,” katanya.
KPPIS turut membangkitkan kebimbangan terhadap Seksyen 8 Akta 860 yang mencadangkan penyelesaian pertindihan fungsi secara pentadbiran antara AKPS dan pihak berkuasa negeri.
Menurut Azizah, pendekatan berbentuk budi bicara itu bercanggah dengan jaminan autonomi Sabah di bawah Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Autonomi imigresen Sabah bukan perkara yang boleh dirunding atau dikompromi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, Seksyen 7(1) Akta 860 yang memberi kuasa luas kepada pegawai AKPS untuk mengambil alih fungsi “pihak berkuasa berwibawa” secara automatik turut menimbulkan kebimbangan.
Katanya, penurunan kuasa secara pukal itu didakwa bercanggah dengan Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63 yang melindungi hak Sabah dalam urusan kemasukan dan imigresen.
“KPPIS berpandangan sebarang kuasa berkaitan hak kemasukan ke Sabah tidak boleh dipinda atau diwakilkan tanpa persetujuan rasmi dan kebenaran bertulis Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut, Azizah menegaskan tindakan KPPIS membangkitkan isu berkenaan bukan bertujuan menentang pelaksanaan undang-undang, sebaliknya sebagai tanggungjawab melindungi pegawai imigresen di Sabah daripada risiko ketidakpatuhan statutori dan arahan yang melampaui bidang kuasa perundangan.
Katanya, pengabaian terhadap kelompongan dalam Akta 860 berpotensi menggugat perlindungan perundangan dan keselamatan kerjaya pegawai imigresen di Sabah serta menjejaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).






