Siling Pembangunan RM12.02 Bilion Diluluskan Untuk Sabah di Bawah RMK13

Siling Pembangunan RM12.02 Bilion Diluluskan Untuk Sabah di Bawah RMK13

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah menerima siling pembangunan sebanyak RM12.02 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi membiayai 1,173 program dan projek, sekali gus menjadi peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu bukan sekadar soal perbelanjaan, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi pelaksanaan berkesan dan impak pembangunan yang dapat dirasai rakyat di seluruh negeri.

Beliau berkata, industri pembinaan akan memainkan peranan utama dalam transformasi pembangunan Sabah yang kini menyaksikan momentum kukuh dalam pelaksanaan infrastruktur termasuk jalan raya, kemudahan kesihatan, utiliti dan jaringan digital.

“Lebuh Raya Pan Borneo khususnya menggambarkan momentum ini. Ia bukan sekadar mewujudkan hubungan, malah membuka peluang ekonomi dan meningkatkan akses di seluruh negeri.

“Pusat bandar kita seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau sedang berkembang menjadi hab moden dan dinamik yang mencerminkan Sabah baharu yang sedang kita bina,” katanya.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun pada majlis perasmian International Construction Week Borneo dan BuildXpo di Sheraton Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas cabaran pelaksanaan sebelum ini, Hajiji berkata keutamaan kerajaan kini adalah mempercepatkan penyampaian projek, memperkukuh koordinasi dan memastikan setiap pembangunan memberi nilai berkekalan kepada rakyat.

Katanya, dalam tempoh lima tahun akan datang, Sabah akan memberi tumpuan kepada strategi memperkukuh jaringan perhubungan menerusi pembangunan rangkaian pengangkutan, sistem logistik dan pelabuhan bagi memacu perdagangan serta pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap pembangunan mampan dan berdaya tahan supaya kemajuan semasa tidak menjejaskan peluang generasi masa hadapan.

Selain itu, katanya, strategi lain termasuk memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik serta meningkatkan standard industri melalui tadbir urus lebih baik, keupayaan lebih kukuh dan akauntabiliti lebih tinggi.

Dalam pada itu, Hajiji berkata ICW Borneo menjadi platform penting yang menghimpunkan idea, kepakaran dan kerjasama strategik bagi diterjemahkan kepada hasil pembangunan sebenar di Sabah.

“Ia membolehkan Sabah berhubung secara langsung dengan pemimpin industri, pelabur dan profesional yang boleh menjadi rakan dalam perjalanan pertumbuhan kita.

“Kepada semua yang hadir hari ini, Sabah mengalu-alukan kerjasama anda. Kita mencari rakan yang membina dengan tujuan, melaksanakan dengan integriti dan komited terhadap kualiti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Sabah terbuka kepada perniagaan, bersedia menerima pelaburan dan komited terhadap agenda kemajuan negeri.