Cubaan Seludup 3,300 Liter Diesel Digagalkan, Rampasan Cecah RM3.5 Juta di Tawau

Cubaan Seludup 3,300 Liter Diesel Digagalkan, Rampasan Cecah RM3.5 Juta di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Cubaan menyeleweng dan menyeludup sebanyak 3,300 liter minyak diesel bersubsidi dipercayai ke negara jiran berjaya dipatahkan dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dijalankan di Kampung Merotai Jalan Pitas, di sini, pada Khamis.

Operasi dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah ini dan kawasan perairan sekitarnya.

Dalam operasi itu, pihak penguat kuasa berjaya menyita lapan tong drum berisi diesel dengan jumlah keseluruhan 3,300 liter yang disimpan di dalam tong besi dipercayai untuk tujuan penyeludupan.

Turut dirampas sebuah bot jenis “skow”, sebuah bot tunda tugboat, gulung hos sepanjang lima meter dan sebuah pam air 5hp yang dipercayai digunakan bagi kegiatan pemindahan dan pengangkutan bahan api berkenaan.

Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM16,401 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk barangan bukan kawalan mencecah RM3,503,701.

KPDN dalam kenyataannya berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

“KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961,” menurut kenyataan itu di sini, pada Jumaat.

Menurut KPDN, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.

Bagi kesalahan di bawah akta berkenaan, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, syarikat yang didapati bersalah pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

KPDN turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan demi melindungi kepentingan rakyat dan negara.