KUNDASANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan had kuota tetap bagi setiap fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan bermula 1 Jun ini bagi memperkukuh kawal selia subsidi diesel serta mengekang ketirisan dan penyalahgunaan kemudahan berkenaan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelarasan kuota tetap itu melibatkan 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan dan ditetapkan berdasarkan analisa penggunaan sepanjang dua tahun pelaksanaan SKDS.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan penyaluran subsidi diesel lebih tersasar kepada pengguna yang benar-benar layak selain memperkukuh mekanisme penguatkuasaan kerajaan.
“Setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap di antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan tertakluk kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap jenis kenderaan.
“Jumlah had kuota ini ditetapkan berpandukan analisa penggunaan jenis pengangkutan dalam tempoh dua tahun terkini pelaksanaan SKDS,” katanya pada sidang media Skim Kawalan Diesel Bersubsidi di Kundasang, hari ini.
Bagaimanapun Armizan berkata, syarikat yang memerlukan penggunaan diesel melebihi had kuota ditetapkan boleh mengemukakan rayuan pertambahan kuota kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurus setia oleh KPDN.
Katanya, permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian melalui e-mel mysubsidi@kpdn.gov.my atau secara fizikal di kaunter KPDN berhampiran dengan penilaian dibuat berdasarkan justifikasi operasi sebenar dan rekod penggunaan bulanan dalam sistem SKDS.
Dalam pada itu, Armizan turut menggalakkan syarikat sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan serta pengangkutan awam air yang belum menikmati subsidi petrol dan diesel supaya segera membuat pendaftaran SKPS dan SKDS melalui portal MySubsidi.
Beliau turut menegaskan kerajaan kekal komited meneruskan subsidi bahan api walaupun berdepan peningkatan mendadak kos subsidi susulan konflik Asia Barat dan lonjakan harga minyak global.
Katanya, subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan sebelum tercetus konflik adalah RM1.29 bilion pada Januari dan RM1.20 bilion pada Februari 2026, namun meningkat kepada RM5.67 bilion pada Mac selepas konflik bermula pada 28 Februari lalu.
“Peningkatan ini melebihi 370 peratus berbanding bulan sebelumnya dan kerajaan akan terus menanggung lonjakan subsidi bahan api ini selagi harga minyak dunia kekal tinggi serta krisis tenaga global berlarutan,” katanya.






