PENAMPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu tempatan selepas didapati positif dadah dalam Op Pusat Hiburan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang awal pagi tadi.
Operasi yang diketuai ASP Bakar Jasa itu melibatkan pemeriksaan ke atas dua premis hiburan di sekitar daerah berkenaan bagi membanteras penyalahgunaan dadah serta memastikan premis mematuhi undang-undang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, sepanjang operasi dijalankan seramai 28 individu telah menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil pemeriksaan mendapati empat individu tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara 19 hingga 30 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis METH dan THC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri.
Sammy berkata, operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah selain memastikan pusat hiburan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah bagi membantu pihak polis menjaga keselamatan serta kesejahteraan komuniti.






