KUNDASANG: Kerajaan terus memperkukuh pembangunan industri bawang merah tempatan menerusi pelaksanaan Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia di Kampung Mesilau, Kundasang bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, projek strategik itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa industri bawang merah tempatan melalui penghasilan benih berkualiti tinggi dan penggunaan teknologi pertanian moden.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke projek berkenaan bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek yang dikendalikan oleh MARDI baru-baru ini.
Semasa lawatan tersebut, beliau diberikan taklimat berkaitan kemajuan kawasan penanaman termasuk penggunaan varieti bawang BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 serta potensi pengembangan projek ke skala lebih besar.
Turut diadakan lawatan ke kawasan ladang usahawan serta rumah pengeringan dan penyimpanan benih bawang merah yang dibangunkan MARDI bagi menyokong pengeluaran benih secara konsisten dan memenuhi standard kualiti ditetapkan.
Kemudahan bernilai RM523,000 itu berfungsi sebagai pusat pengendalian dan penyimpanan benih sebelum diedarkan ke Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.
Inisiatif tersebut selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030 di samping memastikan industri bawang negara kekal mampan dan berdaya saing.
Projek pengeluaran benih bawang merah itu dilaksanakan bersama usahawan tani tempatan, Shahrizal Denci yang mula terlibat di bawah program MARDI pada tahun 2024.
Sepanjang dua musim penanaman terdahulu, beliau berjaya menghasilkan sebanyak 20 metrik tan bawang merah melibatkan kawasan seluas lima ekar.
Bagi memperkukuhkan kapasiti pengeluaran, kawasan penanaman kini diperluaskan secara berperingkat sehingga mencapai 40 ekar menjelang tahun 2030 dengan sasaran pengeluaran keseluruhan sehingga 200 metrik tan.
Sementara itu, MARDI akan terus komited memperkasa pembangunan teknologi, pemindahan inovasi dan sokongan teknikal kepada komuniti tani bagi memastikan industri bawang merah tempatan terus berkembang secara mampan dan berdaya saing, sekali gus menyokong agenda sekuriti makanan negara.






