KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaksanakan mobilisasi Pegawai Perubatan melalui pendekatan kluster hospital bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di Hospital Lahad Datu terus berjalan lancar meskipun berdepan kekurangan doktor ketika ini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Julita Majungki berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan gangguan terhadap perkhidmatan kesihatan dapat diminimumkan, khususnya melibatkan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dan penjagaan rapi.
Beliau berkata, JKNS telah mengambil tindakan segera dengan menggerakkan bantuan Pegawai Perubatan daripada hospital-hospital di bawah Kluster Kota Kinabalu dan Kluster Tawau bagi menjamin kelangsungan operasi klinikal serta perkhidmatan teras di Hospital Lahad Datu.
“Apa yang penting ketika ini ialah memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas. Pada masa sama, isu tenaga kerja kesihatan perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia bukan sahaja melibatkan penempatan pegawai, tetapi juga keperluan mengekalkan tenaga kerja berpengalaman di fasiliti yang berdepan tekanan perkhidmatan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan media JKNS, langkah mobilisasi itu dilaksanakan sebagai tindakan pantas bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan dan keselamatan pesakit di Hospital Lahad Datu terus terpelihara.
Selain itu, kapasiti perkhidmatan hospital berkenaan akan terus diperkukuhkan melalui penempatan tiga Pegawai Perubatan tetap dan dua Pegawai Perubatan secara sementara yang dijadual memulakan tugas secara rasmi bermula Julai 2026.
JKNS turut memaklumkan bahawa keutamaan akan diberikan kepada agihan Pegawai Perubatan kontrak ke fasiliti yang mengalami kekurangan kritikal dalam pengambilan terdekat, selain memperketat kawalan perpindahan keluar bagi memastikan kestabilan tenaga kerja dan kesinambungan perkhidmatan kepakaran.
Julita berkata, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNS bagi memastikan keperluan perkhidmatan kesihatan di Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur, sentiasa diberi perhatian dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.
Beliau menegaskan bahawa kebajikan pesakit serta kelancaran operasi hospital di seluruh negeri kekal menjadi keutamaan dalam usaha memastikan rakyat Sabah terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selamat.






