KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) menggesa kerajaan negeri, kementerian serta agensi kerajaan untuk mempertimbangkan lebih banyak pelaburan dalam sektor media bagi memastikan kelangsungan kewartawanan berkualiti dan berintegriti dalam era digital yang semakin mencabar.
Presidennya, Mariah Doksil berkata, industri media kini berdepan perubahan besar susulan perkembangan teknologi, media sosial dan kecerdasan buatan (AI) yang mengubah landskap penyampaian maklumat serta corak penggunaan berita dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, walaupun masyarakat semakin dahagakan berita yang sahih dan boleh dipercayai, semakin sedikit yang sanggup membayar untuk mendapatkan kandungan kewartawanan berkualiti.
“Pada zaman ini, hampir setiap berita yang dikongsi akan disusuli dengan persoalan sama ada ia benar atau tidak. Hanya selepas dilaporkan media arus perdana, barulah masyarakat yakin dan percaya terhadap kesahihan sesuatu maklumat.
“Semua orang mahukan berita yang boleh dipercayai, tetapi tidak ramai yang mahu membayar untuk mendapatkannya. Sedangkan kewartawanan yang baik memerlukan kos yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2026, di sini, semalam.
Mariah berkata, penghasilan laporan berkualiti memerlukan proses penyelidikan, semakan fakta, temu bual dengan sumber serta pematuhan kepada etika dan keselamatan wartawan, yang semuanya memerlukan masa dan peruntukan kewangan.
Beliau menjelaskan bahawa pada masa lalu, organisasi media banyak bergantung kepada hasil pengiklanan bagi menampung operasi bilik berita, namun landskap tersebut telah berubah apabila sebahagian besar perbelanjaan iklan beralih ke platform media sosial.
“Pada masa sama, masyarakat semakin banyak menggunakan berita dalam talian tetapi mahukan kandungan secara percuma. Keadaan ini menyukarkan organisasi media untuk bertahan dan memberi kesan kepada kebajikan wartawan,” katanya.
Mariah turut menegaskan bahawa walaupun pencipta kandungan digital dan wartawan sama-sama memainkan peranan dalam ruang maklumat, tanggungjawab kedua-duanya adalah berbeza.
“Pencipta kandungan boleh menghasilkan video dan kandungan dengan pantas untuk menarik perhatian audiens, manakala wartawan perlu mengambil masa untuk membuat pengesahan, penyuntingan dan semakan sebelum sesuatu laporan disiarkan.
“Persoalan yang lebih besar ialah jika masyarakat mahukan kewartawanan yang kredibel, yang menyiasat isu dan memastikan pihak berkepentingan bertanggungjawab, siapakah yang akan membiayainya?” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kementerian dan agensi kerajaan yang aktif mengeluarkan kenyataan media serta menjemput liputan media mempertimbangkan pelaksanaan dana pembelian media (media buy) bagi mewujudkan ekosistem yang lebih mampan untuk industri tersebut.
Katanya, langkah itu mampu menghasilkan situasi menang-menang antara organisasi media dan pihak yang memerlukan platform penyebaran maklumat kepada rakyat.
Dalam perkembangan sama, Mariah mengumumkan bahawa SJA akan memperkenalkan kategori baharu, iaitu Anugerah Mobile Journalism (MOJO) pada Kinabalu Press Awards 2027.
Menurut beliau, pengenalan kategori tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai pengamal media di Sabah meneroka penggunaan Mobile Journalism yang semakin berkembang dalam industri kewartawanan global.
“Memang sudah ada pengamal media di Sabah yang terlibat dalam MOJO, namun jumlahnya masih kecil. Kita tidak boleh ketinggalan dan perlu meneroka pendekatan ini untuk kekal relevan di mata masyarakat.
“Kita umumkan perkara ini lebih awal supaya pengamal media mempunyai masa yang mencukupi untuk merancang dan menghasilkan laporan MOJO yang berkualiti bagi dipertandingkan pada tahun hadapan,” katanya.






