KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyeru Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sabah agar menerajui inovasi serta mempercepatkan penerapan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) di negeri ini.
Beliau berkata, usaha itu termasuk memajukan kejuruteraan digital, infrastruktur pintar dan teknologi hijau bagi meletakkan Sabah pada kedudukan yang kukuh dalam ekonomi masa depan.
“Menerusi profesionalisme dan integriti, IEM Sabah akan mengangkat martabat jurutera sebagai tonggak masyarakat yang dipercayai. Ini bukan sekadar kerjasama, tetapi satu misi bersama untuk membina masa depan Sabah,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-51 IEM Sabah di Magellan Sutera, di sini, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melihat IEM Sabah bukan sekadar sebuah badan profesional, tetapi sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri.
“Pada masa hadapan, kerjasama ini perlu diperkukuhkan dengan matlamat dan impak yang lebih besar.
“Saya yakin IEM Sabah akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan standard tertinggi dalam kualiti projek, keselamatan dan kemampanan,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama tersebut turut merangkumi usaha mempercepatkan pembangunan jurutera tempatan ke arah memperoleh status Jurutera Profesional (PE) serta membina tenaga kerja kejuruteraan yang kukuh dan berdikari untuk Sabah.
Katanya, jurutera masa kini bukan sahaja berperanan sebagai pembina negara, malah menjadi arkitek penyelesaian dan rakan strategik dalam tadbir urus.
“Menerusi pelan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), Kerajaan Negeri telah menetapkan agenda yang berani dan transformatif dengan keutamaan yang jelas iaitu memperkukuh jaringan infrastruktur, mempercepat pertumbuhan industri dan ekonomi, memastikan pengurusan sumber yang mampan serta memperkasa modal insan berkualiti tinggi.
“Kita tidak mampu mencapainya bersendirian. Kerjasama dan usaha anda semua amat penting untuk merealisasikan agenda ini demi kebaikan negeri dan rakyat kita,” katanya.
Beliau turut berharap IEM Sabah akan terus melahirkan jurutera yang bukan sahaja cemerlang dari segi teknikal dan berfikiran jauh, tetapi juga berpegang teguh kepada etika serta tanggungjawab profesional.
Selain itu, katanya, jurutera Sabah perlu terus berdaya saing di peringkat global tanpa mengabaikan keperluan dan aspirasi pembangunan negeri.
“Ini adalah pelaburan kita untuk generasi muda agar mereka menjadi arkitek kepada fasa pertumbuhan Sabah yang seterusnya,” katanya.






